Saturday, November 23, 2013

Bab 2

KERETA Viva milik Puan Anita menyusur laju di atas jalan raya. Jalan pintas, tak ramai sangat yang guna. Adila yang berada di sebelah senyap saja, memerhatikan jalan raya yang tak berapa sesak itu. "Adila, kenapa senyap je ni? Selalu mulut awak tu yang menyanyi tak habis-habis." Puan Anita tersenyum melihat kerenah anak bongsunya itu. Ada tak kena la tu kalau senyap je.

Adila hanya menggeleng. "Anak ibu ni tak sihat ke? Sejak dari pagi tadi tau ibu tak dengar suara Adila." Puan Anita masih tidak berpuas hati dengan gelengen anaknya itu.

"Ibu... kenapa Adila takde ayah?"

Puan Anita tersentak mendengar soalan itu. Air matanya bergenang. Namun dia tahan juga. Dia perlu kuat. Dia masih ada anak-anak yang perlu dijaga.

Puan Anita menarik nafas panjang. "Adila... Adila bukannya takde ayah. Adila ada ayah. Cuma ayah dah tinggalkan kita, sayang. Allah lagi sayangkan ayah Adila. Adila faham, kan? So ibu nak Adila sentiasa doakan ayah. Boleh?" Puan Anita mengukirkan senyuman sambil menoleh anaknya yang berada di sebelah. Adila hanya mengangguk.

"Tapi cikgu BI Adila suruh tulis cerita pasal tajuk 'My Family'. Macam mana Adila nak tulis pasal ayah?" Terluah juga soalan yang terbuku di hati Adila sepanjang malam tadi. "Adila tak tulis pun pasal ayah. Adila cuma tulis pasal ibu ngan abang je."

Puan Anita tersenyum. Ni mesti takut sebab tak siap kerja sekolah la tu. "Adila terangkan jelah kat cikgu BI Adila tu. Insya-Allah, dia faham." Adila mengangguk. Kali ni dia rasa bersemangat sikit hendak ke sekolah.

"Eh, ibu, ada orang kat tepi jalan la tu. Kenapa dia tahan kereta kita?" Puan Anita melihat bibir jalan. Betul, ada seorang lelaki yang menahan-nahan keretanya. Nampak gaya macam kereta orang tu rosak.

Kereta lelaki itu tersadai di tepi jalan. Kelihatan ada asap yang keluar dari bahagian enjin kereta. Puan Anita memperlahankan keretanya lalu memarkir di tepi jalan itu. Muka Adila tampak terkejut. "Ibu, tu cikgu BI Adila..." Adila berbisik. Ibunya hanya mengangguk. Takut la tu kalau-kalau cikgu BI dia terdengar, tu sebab sampai nak berbisik tu.

Puan Anita segera keluar dari kereta. Adila mengikut sama. "Ya encik, ada apa-apa masalah ke?"

Lelaki yang bergelar guru itu tersenyum, menaikkan ketampanan mukanya. Mukanya putih. Berpakaian segak. Muda lagi, tapi nampak matang. Kemungkinan umurnya dalam lingkungan 20-an. "A'ah. Kereta saya ni meragam pulak. Hmm, puan ada tau mana-mana bengkel kereta yang berdekatan tak?" Lelaki itu menggelar puan kerana kemungkinan besar dia melihat Adila bersama-samanya.

Puan Anita tidak pasti kerana kawasan itu merupakan jalan pintas, jauh dari kesesakan bandar. Tak mungkin ada bengkel berdekatan sini. "Tak pasti la pulak sebab kawasan ni pun jauh dari bandar, encik."

"Good morning, sir." Adila tersenyum menampakkan giginya yang masih tak penuh itu.

Lelaki itu tampak terkejut lalu tersenyum. "Good morning, Adila. Saya tak perasan awak pun tadi. Hmm, anak puan ke?"

Puan Anita mengangguk. "A'ah. Adila kata encik ni cikgu BI dia. Saya Puan Anita... dan encik?"
"Firdaus Azman. Panggil je saya Firdaus." Firdaus tersenyum.

"Hmm, macam ni jelah. Encik Firdaus boleh la naik kereta saya. Biar saya je hantar encik ke sekolah. Lagi pun dah satu sekolah dengan anak saya, kan, takde la susah mana nak hantar encik sekali. Sekali jalan je pun. Nanti dalam perjalanan, kita cari la sekali bengkel kereta."

Firdaus angguk. "Terima kasih, puan." Dia mengambil beg bimbitnya dari dalam kereta dan segera mengunci keretanya.

AIDID baru sahaja baring dalam biliknya. Telefon bimbitnya berbunyi. Ibu.
"Ye, bu?"

"Abang, tolong ambikkan adik kat sekolah. Ibu tak dapat nak ambik, busy sangat hari ni. Boleh, eh?"
"Okey, no hal. Assalamualaikum."

Puan Anita membalas salam. Panggilan dimatikan. Aidid mencapai kunci motosikalnya. Dua helmet diambil. Satu dipakainya, satu lagi diletakkan pada bakul motosikal. Aidid menunggang motosikalnya dengan kelajuan biasa. Bukan nak ke mana pun, setakat ke sekolah je. Sampai sahaja di hadapan pagar sekolah, Adila sedang berbual dengan seorang lelaki. Aidid hanya menduga bahawa lelaki tersebut merupakan guru Adila, memandangkan pakaian lelaki itu seperti seorang guru. Aidid menghentikan motornya berdekatan dengan Adila.

"Okey cikgu, abang saya dah sampai tu. Saya balik dulu." Firdaus hanya mengangguk mendengar ulahan Adila.

"Hati-hati, Adila," pesannya.

Aidid senyum pada Firdaus. Dia segera berjabat tangan dengan Firdaus. "Cikgu naik apa nak balik ni?" pantas sahaja mulutnya bertanya. Yelah, selalunya kenderaan guru parking kat dalam. Kat luar kawasan sekolah ni pun, setakat kenderaan mak bapak budak sekolah ni je.

"Saya balik naik teksi kot. Kereta masuk bengkel."

Adila mengangguk. Dia segera menceritakan kejadian pagi tadi kepada Aidid. Bermula dari dalam kereta sehinggalah mereka bertemu Firdaus di tepi jalan. Aidid hanya menggeleng, kelakar melihat gelagat adiknya itu. Firdaus hanya mampu tersenyum. Usai Adila memakai helmet serta menaiki motosikal, Aidid meminta diri.

"Oh, terima kasih kat ibu kamu berdua sebab tolong saya pagi tadi."

"Sama-sama, cikgu. Kami pergi dulu. Bye..." Adila sedikit melaung. Aidid menekan gear satu lalu memulas handle. Adila melambai-lambai ke arah Firdaus. Firdaus hanya tersenyum sambil melambai balik.

* * *

"FUH, penat!" Fidaus menghempaskan badannya atas sofa. Zack di sebelah sudah menjelingnya.
"Tak dengar pun bunyi kereta kau."

Firdaus menoleh pada Zack. "Aku balik naik teksi. Kereta aku buat hal kat tengah jalan. Dah la tempat tu tak banyak orang. Nasib baik la ada orang tolong. Dah selamat masuk klinik dah kereta aku tu."

Zack ketawa mendengar penjelasan Firdaus. Nasib kau la, Firdaus. "Kau dah makan? Kat dapur tu ada makanan. Lepas balik sekolah tadi, sempat la jugak aku singgah kedai makan, sebab aku tau, kau takkan beli apa-apa makanan pun."

Zack merupakan teman serumahnya. Zack juga merupakan seorang guru praktikal Bahasa Melayu di sebuah sekolah rendah. Cuma mereka tak berada di sekolah yang sama saja. Mereka dah kenal sejak dari zaman maktab lagi. Kenyang lapar sama-sama. Sihat sakit sama-sama jaga. Boleh katakan mereka bagaikan adik-beradik, dah boleh kenal perangai masing-masing.

Pantas saja Firdaus bangkit dari sofa untuk ke dapur. Perutnya dah berkeroncong. Lapar hoi! Kalau aku sakit nanti, siapa yang susah? Zack jugak yang susah. "Terima kasih, Zack!" laung Firdaus dari dapur. 

Polisterin putih atas meja diambil. Nasi berlauk ayam masak merah beserta kangkung masak belacan. Zack ni macam tau-tau je favourite aku. Eheh, memang dia dah tau pun. Kalau tak tau, bukan sahabat sejati namanya. Doa makan dibaca, nasi menerobos masuk mulut. Lazat.

PETANG itu, Anita keluar ke pasaraya untuk mencari barang dapur. Dia lebih suka untuk pergi berseorangan. Kalau bawa Adila, mahu satu pasaraya dia nak beli. Anita mengambil bakul. Satu tangan lain pun ingin mengambil bakul yang sama. Hish, tak nampak ke orang dah ambil bakul ni. Macam ada satu bakul je kat supermarket ni. Anita mengangkat mukanya. Eh, macam kenal je mamat ni. Kejap. "Cikgu Firdaus?"

"Puan Anita?" Firdaus tersenyum. Anita hanya mengangguk. "Sorang je ke? Adila tak ikut sekali?"

"Tak. Saya dari pejabat, terus ke sini. Malas nak bawak Adila. Mau satu supermarket ni dia minta nanti," mereka berdua tertawa. Firdaus mempersilakan Anita masuk ke dalam pasaraya. Anita masuk, disusuli Firdaus. "Oh, naik apa ke sini? Bukan ke kereta cikgu masuk bengkel?"

Firdaus melepaskan gelak. "Puan Anita panggil jelah saya Firdaus. Kita bukan kat sekolah pun." Anita hanya angguk, mengiakan saja permintaan Firdaus. "Saya ke sini naik motor housemate kejap. Nak cari barang dapur." Anita angguk lagi. "Cari barang dapur jugak ke?"

"A'ah. Lagi pun barang dapur dah tinggal sikit." Keadaan mula janggal. Apa benda la aku nak borak ngan cikgu ni. Dah la nak jalan pun sebelah-sebelah. Hish. "Macam mana ek prestasi Adila tu kat dalam kelas?" Tanya jelah apa-apa soalan, janji tak awkward.

Firdaus hanya diam mencari kata. "Adila tu, bagus budaknya. Selalu siapkan kerja sekolah yang saya bagi. Cuma kali ni, saya pelik sikit. Saya ada suruh pelajar saya tulis pasal keluarga mereka, tapi Adila cuma tulis pasal ibu ngan abang dia je. Boleh saya nak tau, kenapa Adila tak tulis pasal ayah dia?"

Anita hanya diam. Sos cili yang berada di rak sebelahnya diambil lalu dimasukkan ke dalam bakul. "Cikgu, ayah Adila dah lama pergi tinggalkan kami. Ayah Adila dah... meninggal dunia." Air matanya ditahan supaya tak jatuh berlinangan.

Riak muka Firdaus tampak terkejut. "Maaf, puan. Saya... betul-betul minta maaf."

Anita menggeleng. "Takpe," dia tersenyum, walaupun senyumannya nampak sangat dipaksa. Firdaus hanya membalas senyuman Anita. Dia malas hendak bertanya lebih lanjut lagi tentang perihal keluarga Anita.

"Hmm, okey la, saya nak cari barang dapur kat sana tu. Saya minta diri dulu," ujar Firdaus. Anita hanya tersenyum lalu mengangguk. Firdaus mengarahkan kakinya ke sebelah kanan, manakala Anita mengarahkan kakinya ke sebelah kiri. "Puan."

"Ya?" Anita berpusing untuk menghadap Firdaus yang datang mendekatinya.

"Boleh saya minta nombor telefon puan?"

Bersambung...